Tuesday, October 5, 2010

Justin Bieber Palsu?

Tak Pasti samada perkara ini benar atau tidak, pertama kali menonton video ini, saya memang agak terperanjat. Walaubagaimanapun terserah kepada anda untuk percaya atau tidak.

Kalaulah Justin Bieber ni betul-betul palsu, ramai peminat penyanyi 16 tahun ini pastinya akan kecewa dengan penipuan yang dilakukan beliau.



Walaubagaimanapun kita tunggu dan lihat. Kerana dalam kecanggihan dunia IT sekarang ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

Sunday, September 26, 2010

Geng Bas Sekolah

Beberapa gambar berkaitan kanak-kanak sahaja. Sebahagiannya telah diedit, yang lain pula masih original.

Sebenarnya dapat merakam aksi dan emosi kanak-kanak ini memang seronok. Cuma masalah yang selalu timbul apabila kanak-kanak selalunya amat sensitif dengan kehadiran fotografer. Ada yang memberi reaksi yang spontan seperti menunjukkan tanda 'peace'. Ada pulak yang menyembunyikan wajah mereka. Ada yang terus memberikan pose-pose selamba. Ada pulak yang menunjukkan reaksi 'buat tak tahu'. Sebenarnya saya suka aksi yang agak natural, yang tidak terpengaruh dengan kehadiran jurufoto. Yang ini sangat sukar sekali, perlukan lensa yang agak panjang sehingga kanak-kanak tak menyedari aksi mereka dirakam.  


Ada gaya model tak?

 Wah, adik ni sebenarnya suka bergaya, memang sporting.

 Yang ini sangat sukar diambil fotonya.

 Peace! Anak saudara saya yang agak sensitif dengan kehadiran kamera. Sangat sukar mengambil foto selambanya.

 Wah! Apa yang difikirkan tu?

 Aat yang comel.

 Malu-malu.

Hahaha... dia tak perasan pun.

Thursday, September 16, 2010

Skodeng Pasangan Berasmara

Gambar-gambar berikut mungkin sedikit mengganggu sensitiviti pembaca.  Terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya gambar-gambar ini keterlaluan. Tak tahulah sekiranya ianya dalam kategori 18 SX atau 13 SX. Anda nilai sendiri. Audience discretion is advised. Segala yang dipaparkan hanyalah atas dasar kesenian fotografi.

Kamera : Nikon D300s, Exp. : 1/320, ISO : 400, F/5.6, Focal length 200mm.

Harap jangan salahkan saya ya.....

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidil Fitri

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat," demikian kata-kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, sebentar tadi. (Berita Harian, 08 September 2010).

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua pengunjung dan rakan budiman tebilan.blogspot.com. Maafkanlah segala silap dan salah sepanjang persahabatan di alam maya ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang masih sudi berkunjung.


Salam Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

Sunday, August 15, 2010

Tutorial HDR Photo Imaging

Umumnya ketika kita mengambil gambar terutamanya jenis pemandangan (bangunan, pantai, langit) perkara yang paling memeningkan kepala ialah setting pada kamera agar langit nampak cantik di samping objek atau tanah yang jelas. Perkara ini adalah disebabkan langit selalunya lebih cerah dan bumi akan kelihatan gelap. Exposure yang terlebih akan menyebabkan langit akan kelihatan terlalu cerah, manakala exposure yang kurang menyebabkan permukaan bumi kelihatan terlalu gelap.

HDR photo sedikit sebanyak dapat menyelesaikan perkara ini. Selain untuk menonjolkan detail pada permukaan bumi (atau objek) dan latar belakang yang cerah, photo editor menggunakan HDR photo editing untuk tujuan menonjolkan elemen yang cantik dan unik menggunakan kreativiti.

Tutorial saya pada kali ini hanyalah sebagai panduan asas teknik HDR mengikut pengalaman peribadi saya sendiri. 

Langkah 1
Ambil sekurang-kurangnya dua foto mengunakan exposure yang berlainan. Saya selalunya menggunakan 3 foto yang sama menggunakan exposure -1, 0 dan 1. 
EV -1.0 (under-exposed)

EV 0.0 (normal)

EV 1.0 (over-exposed)

Sebaik-baiknya tripod digunakan untuk mengelakkan kesan gegaran pada gambar-gambar tersebut. Saya menggunakan satu cara yang mudah iaitu mengambil hanya satu gambar sahaja dan mengubah exposurenya menggunakan photoshop dan menjadikan 3 gambar yang berbeza exposure.

Langkah 2

Dalam langkah ini, Photomatix diperlukan. Saya memilih untuk menggunakan Photomatix berbanding Photoshop untuk menghasilkan gambar HDR kerana ianaya lebih mudah.

Buka program Photomatix dan klik "Generate HDR Image" pilih "Browse" dan pilih fail gambar.
(klik pada gambar untuk imej yang lebih jelas)

Paparan seperti ini akan muncul. Klik "OK"


Seterusnya. Klik sahaja "Tone Mapping"

Seterusnya...



(gambar pinjam dari http://abduzeedo.com)

Ubah slider ke kiri dan kanan mengikut citarasa masing-masing. Sampai part ini, gunakanlah kreativiti masing-masing untuk mengubah setting pada gambar HDR tersebut. Kaedah "try and error" amatlah diperlukan.

Sesudah berpuashati, klik sahaja pada "Process". Photomatix akan mengambil  sedikit masa untuk memproses HDR tersebut.

Akhir sekali klik "File"> "save as" hasil kerja yang telah diproses tadi ke dalam format ".JPG".


Berikut adalah antara hasil-hasil kerja tangan saya.


Harap perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan yang ingin mencuba. Sila ambil maklum bahawa saya bukanlah seorang yang telah mahir menggunakan teknik HDR ini. 

p/s Photomatix Pro tu adalah perisian berbayar, terpulang kepada rakan sekiranya inginkan versi yang cracked punya. Sila gunakan khidmat uncle Google. :)

Thursday, August 12, 2010

Bermain Dengan HDR #2

Yang ini menjadi kot?
100% menggunakan Photomatix Pro 3.

Bermain dengan HDR

Percubaan editing foto menggunakan teknik HDR. Saya gunakan Photomatix Pro 3 + Photoshop CS3. Saya bukanlah seorang yang mahir dengan photo-editing ni. Langit tu dah ok (rasanya), tapi bawah tu masih nampak gelap. Sesiapa boleh tolong?

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Bepuasa.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada rakan-rakan blogger serta seluruh umat Islam di mana sahaja berada.

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi).

 Mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan dari-Nya di bulan yang mulia ini.Amin.

Thursday, August 5, 2010

Selamat Hari Jadi Izwan


Hari ini genaplah usia anak sulung aku 14 tahun, Izwan. Sedar tak sedar dah tingkatan dua dia ni rupanya. Macam biasa, sambutan hari jadi anak-anak aku hanya dibuat secara tertutup. Tak ada sesiapa yang dijemput, cuma acara potong kek dengan cara yang paling sederhana. Sekadar untuk menyatakan mereka diingati dan dihargai.
Selamat hari jadi Izwan. Semoga bertambah matang usia dan menjadi seorang manusia yang benar-benar manusia.

Huhhh... dah tua rupanya aku....

Monday, August 2, 2010

Dia Datang...

Dia datang lagi. Maksud saya bulan Ramadhan yang dah hampir. Kenapa senang sahaja nak ingat ketibaan bulan Ramadhan ini? Sebenarnya ada rakan-rakan setugas yang baru sahaja melangsaikan hutang puasa bulan Ramadhan tahun lepas baru-baru ni. Biasalah tu, mengganti puasa tahun lepas disebabkan 'cuti yang dikhaskan' kepada golongan-golongan yang terlibat.

Bila dah dekat-dekat Ramadhan ini, saya asyik teringatkan tentang sesuatu yang boleh dikatakan mesti ada di setiap rumah dalam bulan puasa ini. Inilah bendanya.

Baru-baru ini saya sekeluarga sempat berwindow-shopping di Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Tujuan asalnya cuma nak tengok-tengok pakaian untuk anak-anak. Saya pula asyik tengok kepelbagaian jenama buah kurma yang dipamerkan di gerai-gerai yang terdapat di situ. Memang menarik, tapi sayangnya saya tak bawa kamera. Kalau tidak sudah pasti buah-buah kurma pelbagai jenis menjadi mangsa kamera saya. Perkara yang paling menarik pada saya ialah pembungkusan dan jenama yang terdapat di situ serta jenis-jenis kurma dari Tanah Arab, Afrika hingga China.
Gambar di atas adalah buah kurma yang dibungkus oleh Syarikat Elken, kebetulan isteri membelinya sewaktu promosi di kedai tempat isteri saya selalu berkunjung.

Hmmm... bila tiba bulan puasa mesti ingat makanan kat Bazaar Ramadhan.

Friday, July 30, 2010

Saat Aku Garu Kepala.

Baru-baru ini seorang teman lama mengutarakan isu berkaitan masalah, "Siapakah yang lebih bijak, di antara orang yang cuba menghalang masalah daripada menjelma dengan orang yang boleh menyelesaikan masalah apabila masalah menjelma?"


Pada saya, perkara ini sangat menarik untuk difikirkan. Sesiapa pun berhak untuk memberikan pendapat. Setiap orang berfikir dengan caranya sendiri dan yang paling penting, terpulang kepada individu untuk mempercayai yang mana satu yang lebih benar berdasarkan logik pemikiran masing-masing.

Saya pula, hanya seorang 'kecil' yang yang berfikir dengan cara saya. Pendapat saya tak semestinya benar pada pandangan orang lain, tapi saya meyakininya dan akan terus yakin sehingga pada suatu ketika, orang lain memberikan pendapat sebaliknya yang saya fikir mempunyai asas yang agak kukuh dan bernas. Mungkin disebabkan perkara dan percanggahan sebegini menyebabkan bukan semua orang sependapat dengan sesuatu isu. 

Percanggahan pendapat itu satu kesalahan ke? Orang kata, rambut sama hitam, hati lain-lain. Cara orang berfikir tak akan sama. Kalau tak, tak kan wujud ideologi politik yang pelbagai, suami-isteri bertengkar, dan persidangan meja bulat berkaitan isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Masing-masing akan menegakkan kepercayaan sendiri. Ada orang suka parti pembangkang, ada yang suka kerajaan, ada yang suka UPSR dimansuhkan, ada yang sebaliknya, ada yang bersetuju masalah lebih baik dielakkan berbanding diselesaikan.

Perlu diingat, setiap orang mempercayai sesuatu setelah dipertimbangkannya dengan akal fikiran. Kalau berfikir dengan cara tak waras atau terburu-buru tu lainlah pula ceritanya. 

Bagaimana pula untuk menyelaraskan pemikiran manusia yang pelbagai agar menjadi hanya satu keputusan diambil? Bukan senang nak provok orang ni.dan bukan semua isu kita perlu selaraskan pemikiran orang. Sebagai contoh, walau apapun masalahnya, isu pemansuhan UPSR dan PMR perlu mendapat keputusan yang dipersetujui oleh semua orang atau sekurang-kurangnya mendapat persetujuan majoriti.  Pihak yang 'kalah' kenalah hormati kesepakatan majoriti. 

Ramai pula yang suka menyalahkan orang kerana tak setuju dengan sesuatu. (Kadang-kadang saya adalah dalam golongan ini... hmmmm). Bila fikir tentang ini, saya cuma mampu garu kepala.... sebab saya pun masih mencari-cari jawapannya. Patut atau tak patut?..

Perkara yang paling patut ialah hormati pendapat orang lain.

Thursday, July 29, 2010

Salam Kembali

Salam Semua,

Dah lama agaknya bercuti dari membuat sebarang post di sini. Kadang-kadang terfikir juga ingin menutup sahaja blog ini, tapi perasaan sayang terhadap isi kandungan (walaupun tak seberapa) menyebabkan saya berfikir dua kali nak menutup blog ini. Buat rakan-rakan yang masih sudi berkunjung ke sini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian anda membaca dan memberikan komen ke atas post-post saya.

Hari ini saya nak kongsikan foto ini:
Colourful Sunset
Biru-Hijau-Kuning-Merah

M F/10 1/2 sec. ISO 200

Thursday, June 10, 2010

Bermain dengan Kelah di Luanti, Ranau.

Cuti sempena Pesta Kaamatan yang disambut di Sabah selama dua hari, saya sekeluarga berkesempatan melawat Kampung Luanti yang terletak di Daerah Ranau. Ianya terletak di Jalan Ranau-Sandakan, beberapa kilometer sahaja dari Pekan Ranau.

Sungai Luanti ini terkenal di Sabah kerana urutan ikan Kelahnya. Satu keistimewaan kerana ikan Kelah ini sebenarnya antara ikan-ikan air tawar yang menjadi buruan kaki-kaki  pancing di negara kita. Cuma yang menjadi kelebihan di sini ikan Kelah ini tak boleh dipancing atau ditangkap dengan apa cara sekalipun. Sistem ini dinamakan 'Tagal' di kalangan masyarakat di Sabah, umumnya. Sesiapa yang didapati bersalah menangkap sebarang hidupan di sungai ini akan dikenakan 'sogit' atau denda. Istilah sogit ini merangkumi denda yang dikenakan ke atas sebarang kesalahan terhadap perlanggaran pantang larang, adat-istiadat dan budaya kaum-kaum di Sabah termasuk perkahwinan.  Saya tak berani nak mengulas lanjut tentang sogit ini, sebab pernah terdengar suatu ketika dulu, si pesalah dikenakan sogit seekor babi. Mungkin pada masa sekarang ini ianya sudah tidak dipraktikkan lagi memandangkan sensitiviti agama.

Sistem tagal di kampung ini diuruskan oleh JKKK Kampung Luanti sendiri. Pesta Tagal akan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan. Pesta Tagal ini umpama hari raya, setelah beberapa ketika berpuasa cuma boleh tengok ikan tapi tak boleh nak tangkap. Pada pesta ini, penduduk-penduduk kampung akan dibenarkan memancing dan menangkap ikan sepuas-puasnya untuk sehari sahaja.

Walaubagaimanapun lawatan kami sekeluarga kali ini bukanlah untuk meraikan Pesta Tagal. Cuma lawatan hari-hari biasa di Sungai Luanti untuk bermain-main dengan ikan Kelahnya yang terkenal itu. Seronok rasanya bila dapat menyentuh ikan-ikan ini di persekitaran semulajadinya. Kadang-kadang rasa geli tak tertahan apabila ikan-ikan ini mengusap-usap serta mematuk jari dan tumit kaki.


Wednesday, June 9, 2010

Senja Belakang Rumah

Seharian, saya duduk di rumah sahaja, walaupun urusan masih banyak yang belum selesai. Tak tahu apa lagi nak dibuat, kamera DSLR baru berjenama Nikon (jangan tanya apa model...) langsung disambar dan lari ke pantai depan rumah apabila cuaca agak baik selepas hujan petang semalam.

Nasib saya agak baik apabila kebetulan suasana senja di pantai belakang rumah sangat cantik masa tu.
Syukur ke hadrat-Nya, kerana dapat menikmati suasana sebegini di negara kita yang aman.

Monday, June 7, 2010

Buli

Hari ini saya terserempak dengan satu kejadian. Insiden? Eksiden? Mana-manalah.. 

Hampir dua minggu rasanya saya dan keluarga asyik ke sana kemari. Jalan-jalan musim cuti sekolah dan cuti Pesta Kamaatan yang disambut di Sabah. Dalam tempoh itu, saya cuma berkesempatan berada di rumah selama 2 hari. Orang kata jauh berjalan, luas pengetahuan. Bukan sekadar bercuti, sebenarnya saya melangsaikan beberapa perkara yang tertangguh sekian lama yang disebabkan oleh kesuntukan masa berbuat demikian kerana kekangan kerja. Kebetulan pula, terlalu banyak cuti-cuti sebelum ini melambatkan/menangguhkan urusan-urusan yang perlu dilakukan di beberapa buah pejabat. Cuti yang panjang kadang-kadang menyusahkan.

Hari ini setelah sekian lama, saya dan keluarga balik ke rumah. Semasa dalam perjalanan balik saya terserempak dengan sesuatu kejadian yang menyebabkan saya berfikir panjang. Semasa memandu, seekor kucing tiba-tiba melintas jalan mengejar seekor anjing yang berada di sebelah. Sebelum kucing tersebut sampai ke seberang, ia dilanggar pulak oleh sebuah kereta. Mungkin pemandu tersebut tak perasan atau tak sempat membrek keretanya. Kucing tersebut cedera di bahagian kaki belakang. Anjing di sebelah pula mengambil kesempatan nak menyerang kucing yang malang. Saya terpegun apabila melihat kucing tersebut yang dah tak dapat berdiri terus mempertahankan diri walaupun berjalan sambil mengheret bahagian belakangnya yang cedera. Saya terpegun melihat semangat melawan yang ditunjukkannya.

Saya asyik berfikir sepanjang perjalanan pulang. Mengapa seekor kucing mengejar anjing dalam keadaan jalan yang sesak dengan kenderaan. Mungkinkah ia dah tak tahan kerana anjing selalu membuli kaumnya yang lemah? Saya tak pernah pula mendengar atau menyaksikan kucing membuli anjing. Mungkin si kucing cuma ingin mempertahankan wilayah, kaum dan hak-haknya untuk hidup aman. Tak tahulah...

Si pembuli ini ada di mana-mana. Dengan fizikal dan kekuatan yang dia ada, kaum yang lemah akan menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan dan pembelaan dari golongan yang merasakan diri mereka super-gagah dan tak boleh diancam oleh mana-mana individu. Bertambah-tambahlah keangkuhan si pembuli. Baru-baru ni pun si pembuli menyekat bantuan kemanusiaan....




Sunday, May 23, 2010

Trip to Taman Kinabalu - Stesen Sorinsim

"Hari ni kita jalan-jalan ke Sorinsim.."
Pagi hari sabtu itu, dengan selamba saja saya mengajukan ayat ini kepada isteri, sambil-sambil pejam celik biji mata berulangkali sebab baru bangun tidur.

"Bah"
Dengan selamba juga si isteri bersetuju. Anak-anak pula, bukan main seronok lagi.

Perjalanan ke Kota Marudu mengambil masa lebih kurang 40 minit hanya untuk membeli belah apa yang patut untuk perkelahan keluarga. Bukannya selalu berkelah. Anak-anak dah tak sabar.

Kampung Timbang Batu (kalau tak silap) dari Jalan Kota Marudu -Poring

Perjalanan ke Sorinsim yang jaraknya lebihkurang 35 km dari kota Marudu walaupun taklah jauh sangat tapi terasa sangat jauh. Apa ke tidak, 28 kilometer daripadanya adalah jalan off-road, dengan kerja-kerja pembinaan jalan raya Kota Marudu-Poring sejauh 6 kilometer dan selebihnya adalah jalan yang lebih sesuai untuk kenderaan 4WD.  Kelebihan melalui jalan-jalan off-road ini suatu ketika dahulu memberi sedikit kelebihan kepada saya memandu sebuah Avanza. Mujurlah jarak kelegaan kenderaan dengan tanah yang agak tinggi juga pada kereta saya memudahkan perjalanan. Saya cuba membayangkan apakah akibatnya kalau Persona isteri yang dibawa. Kompem patah balik sebelum sampai ke destinasi. 

Perjalanan melalui jalan off-road sejauh lebih kurang 28 kilometer mengambil masa yang banyak. Hampir 2 jam. Semuanya gara-gara keadaan yang agak mencabar dan memerlukan kemahiran memandu di jalan 'logging'. Pada suatu ketika, saya hampir-hampir patah balik apabila melalui jalan yang sempit dan curam. Walaubagaimanapun, segala kesukaran dalam perjalanan terubat apabila sampai ke tempat yang diidam-idamkan. 

Sorinsim memang menakjubkan. Saya terlalu asyik mengambil gambar, hingga hampir terlupa untuk merasai kesejukan air sungai yang mengalir dari kawasan pergunungan. Saya kongsikan keindahan Sorinsim..