Cuti sempena Pesta Kaamatan yang disambut di Sabah selama dua hari, saya sekeluarga berkesempatan melawat Kampung Luanti yang terletak di Daerah Ranau. Ianya terletak di Jalan Ranau-Sandakan, beberapa kilometer sahaja dari Pekan Ranau.
Sungai Luanti ini terkenal di Sabah kerana urutan ikan Kelahnya. Satu keistimewaan kerana ikan Kelah ini sebenarnya antara ikan-ikan air tawar yang menjadi buruan kaki-kaki pancing di negara kita. Cuma yang menjadi kelebihan di sini ikan Kelah ini tak boleh dipancing atau ditangkap dengan apa cara sekalipun. Sistem ini dinamakan 'Tagal' di kalangan masyarakat di Sabah, umumnya. Sesiapa yang didapati bersalah menangkap sebarang hidupan di sungai ini akan dikenakan 'sogit' atau denda. Istilah sogit ini merangkumi denda yang dikenakan ke atas sebarang kesalahan terhadap perlanggaran pantang larang, adat-istiadat dan budaya kaum-kaum di Sabah termasuk perkahwinan. Saya tak berani nak mengulas lanjut tentang sogit ini, sebab pernah terdengar suatu ketika dulu, si pesalah dikenakan sogit seekor babi. Mungkin pada masa sekarang ini ianya sudah tidak dipraktikkan lagi memandangkan sensitiviti agama.
Sistem tagal di kampung ini diuruskan oleh JKKK Kampung Luanti sendiri. Pesta Tagal akan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan. Pesta Tagal ini umpama hari raya, setelah beberapa ketika berpuasa cuma boleh tengok ikan tapi tak boleh nak tangkap. Pada pesta ini, penduduk-penduduk kampung akan dibenarkan memancing dan menangkap ikan sepuas-puasnya untuk sehari sahaja.
Walaubagaimanapun lawatan kami sekeluarga kali ini bukanlah untuk meraikan Pesta Tagal. Cuma lawatan hari-hari biasa di Sungai Luanti untuk bermain-main dengan ikan Kelahnya yang terkenal itu. Seronok rasanya bila dapat menyentuh ikan-ikan ini di persekitaran semulajadinya. Kadang-kadang rasa geli tak tertahan apabila ikan-ikan ini mengusap-usap serta mematuk jari dan tumit kaki.