Showing posts with label cuti-cuti. Show all posts
Showing posts with label cuti-cuti. Show all posts

Friday, July 19, 2013

Cuti-cuti di Kota Bharu, Kelantan.

Sultan Ismail Petra Arch, Kota Bharu, Kelantan



Thursday, June 6, 2013

Trip ke Malubang, Pitas

    Malubang hanyalah sebuah kampung kecil yang dihuni oleh lebihkurang 350 orang penduduk yang ramah. Kampung ini terletak lebihkurang 60 kilometer dari pekan Pitas melalui jalan raya, yang mana sebahagiannya masih belum berturap. Perjalanan mengambil masa lebihkurang satu setengah jam dari pekan Pitas. 
   Lokasi ini agak terkenal dengan kisah Supirak yang disumpah menjadi batu oleh ibunya (Odu Gerawang) kerana derhaka. Kisahnya lebihkurang sama seperti kisah Tanggang atau Malim Kundang.
    Kami disambut oleh beberapa penduduk kampung setibanya di Kampung Malubang, kebetulan salah seorang daripadanya ialah Encik Mokhtar, pengurus rumah penginapan yang terdapat di kampung tersebut. Sebenarnya kami telahpun mengenali beliau sebelum ini.
     Terdapat enam tempat yang menjadi tarikan di sini, iaitu Batu Dulang, Batu Talam, Batu Berunsai, Batu Supirak, Perigi Air Tawar dan Batu Gerawang, selain dari keindahan pantai serta laut semulajadinya. Fenomena 'sunset' menjadi buruan kami untuk diabadikan dalam foto. Nasib kami agak baik kerana sempat juga merakamkan bimasakti (Milky Way) berhampiran penginapan kami.
Kapal Supirak


Batu Berunsai. Berunsai adalah tarian tradisi masyarakat kaum Bajau di Sabah.

Batu Talam

Sunset dari Batu Supirak.

Suasana malam dari tempat menginap.

Salah seorang rakan fotografer berlatar-belakangkan Bima Sakti.

Milky Way dari jeti.

Pulau Batu Dulang. (Talam-Talam)

Air laut yang jernih dalam perjalanan ke Pulau Supirak
Tip dan maklumat umum kepada anda yang ingin berkunjung ke sini.
  1. Bawa makanan dan air minuman yang banyak. Walaupun terdapat dua buah gerai makanan yang menyediakan makanan untuk pengunjung-pengunjung, ada kemungkinan kedua-duanya tidak beroperasi.
  2. Bawa lampu suluh. Anda mungkin berkesempatan untuk melakukan aktiviti menyuluh ketam sekiranya air surut di waktu malam.
  3. Buat masa ini bekalan elektrik hanya disediakan dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi sahaja setiap malam oleh pengusaha tempat penginapan.
  4. Bot sewaan untuk melawati tempat-tempat tarikan di sekeliling kampung boleh didapati dengan mudah dengan kadar RM60 hingga RM100 sebuah, bergantung kepada lokasi tujuan anda. Setiap bot boleh memuatkan 6-10 orang (bergantung kepada saiz bot).
  5. Kenderaan pacuan 4 roda lebih sesuai untuk sampai ke tempat ini. Tapi jangan hairan kalau anda melihat kereta seperti perdana, satria, kancil dan Evo 9 terdapat di sini.
Nombor telefon Encik Mokhtar untuk dihubungi .... (saya akan update kemudian).


Thursday, June 10, 2010

Bermain dengan Kelah di Luanti, Ranau.

Cuti sempena Pesta Kaamatan yang disambut di Sabah selama dua hari, saya sekeluarga berkesempatan melawat Kampung Luanti yang terletak di Daerah Ranau. Ianya terletak di Jalan Ranau-Sandakan, beberapa kilometer sahaja dari Pekan Ranau.

Sungai Luanti ini terkenal di Sabah kerana urutan ikan Kelahnya. Satu keistimewaan kerana ikan Kelah ini sebenarnya antara ikan-ikan air tawar yang menjadi buruan kaki-kaki  pancing di negara kita. Cuma yang menjadi kelebihan di sini ikan Kelah ini tak boleh dipancing atau ditangkap dengan apa cara sekalipun. Sistem ini dinamakan 'Tagal' di kalangan masyarakat di Sabah, umumnya. Sesiapa yang didapati bersalah menangkap sebarang hidupan di sungai ini akan dikenakan 'sogit' atau denda. Istilah sogit ini merangkumi denda yang dikenakan ke atas sebarang kesalahan terhadap perlanggaran pantang larang, adat-istiadat dan budaya kaum-kaum di Sabah termasuk perkahwinan.  Saya tak berani nak mengulas lanjut tentang sogit ini, sebab pernah terdengar suatu ketika dulu, si pesalah dikenakan sogit seekor babi. Mungkin pada masa sekarang ini ianya sudah tidak dipraktikkan lagi memandangkan sensitiviti agama.

Sistem tagal di kampung ini diuruskan oleh JKKK Kampung Luanti sendiri. Pesta Tagal akan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan. Pesta Tagal ini umpama hari raya, setelah beberapa ketika berpuasa cuma boleh tengok ikan tapi tak boleh nak tangkap. Pada pesta ini, penduduk-penduduk kampung akan dibenarkan memancing dan menangkap ikan sepuas-puasnya untuk sehari sahaja.

Walaubagaimanapun lawatan kami sekeluarga kali ini bukanlah untuk meraikan Pesta Tagal. Cuma lawatan hari-hari biasa di Sungai Luanti untuk bermain-main dengan ikan Kelahnya yang terkenal itu. Seronok rasanya bila dapat menyentuh ikan-ikan ini di persekitaran semulajadinya. Kadang-kadang rasa geli tak tertahan apabila ikan-ikan ini mengusap-usap serta mematuk jari dan tumit kaki.